Bagaimana Felda and EHP berkomplot

FELDA, melalui FELDA Investment Corp, telah menyempurnakan pembelian sebanyak 37% saham PT Eagle High Plantations Tbk (EHP) pada tahun 2015 – perjanjian ini bernilai RM2.26 bilion (USD505 juta yang sudah dibayar sepenuhnya!) kepada Peter Sondakh. Supaya anda tidak keliru, saya akan jelaskan. Felda telah “melabur” dalam EHP, sebuah syarikat yang sebenarnya menurun dalam prestasi kewangannya tahun demi tahun. EHP melaporkan kerugian bersih kira-kira RM113 juta pada tahun 2016, peningkatan sebanyak 116% berbanding kerugian bersih tahun 2015.

Tetapi yang lebih penting, tahukah anda bahawa perjanjian ini dibuat pada masa ‘financial experts’ menyatakan bahawa jika Felda mahu menswatakan FGV, ia perlu mencari pasangan yang mempunyai keupayaan kewangan untuk menganti rugi semua pemegang saham dan peneroka Felda diatas prestasi buruk saham FGV sejak penyenaraian? Ini bermakna mempunyai aliran tunai sebanyak RM8-9 BILLION (RM4 setiap saham untuk membayar hutang tersebut!). Tapi, yang peliknya, EHP tidak mempunyai aliran tunai sebegitu. Jadi mengapa Felda membuat perjanjian dengan EHP? Adakah kerana Peter Sondakh berkawan rapat dengan ramai ahli politik di Malaysia?

Kebanyakan peneroka tidak tahu akan perjanjian Felda dan FGV ini. Ini termasuk pakcik yang memandu kereta Grab yang mengambil tempahan saya dari Terminal Bas Larkin – secara kebetulan seorang peneroka dari Kota Tinggi yang ingin menambah pendapatannya.

Pakcik Grab berkata, keluarganya dan banyak yang lain meraikan IPO FGV bila ia berlaku dan mereka memegang saham bernilai RM4.55. Pakcik menambah, kawan-kawannya yang menjual saham mereka tidak lama selepas IPO FGV adalah “bertuah”. Pakcik sudah rugi kerana saham FGV-nya hanya bernilai lebih kurang RM1.99 sekarang.

KPMG memanggil perjanjian dengan EHP satu penipuan (mereka menggunakan perkataan yang lebih sopan – tapi saya terus terang disini). Pengerusi CIMB, Nazir Abdul Razak (bapa beliau Abdul Razak Hussein telah menubuhkan Felda) berkata Felda harus menjustifikasi pembeliannya. Pada asalnya, FGV yang bercadang untuk membeli saham EHP, tapi perjanjiannya itu tidak termeterai. Jadi, apabila kesepakatan ini gagal, Felda pula membeli EHP melalui anak syarikatnya yang dikenali sebagai Felda Investment Corp.

EPF sudah menjual semua sahamnya dalam FGV. Ada apa-apa ‘silver lining’ yang saya tidak nampak?

Skandal Felda yang mengegarkan kaum Melayu terbongkar

Semua orang pastinya mempunyai perkara yang menjengkelkan. Untuk saya perkara itu adalah maklumat yang tidak tepat atau perbincangan yang bersandarkan kepada khabar angin.

Saya pernah berbincang hangat bersama ibu bapa saya mengenai “kesetiaan mutlak” mereka kepada UMNO. Ketika saya berada di UK, saya dapat melihat banyak “janji kosong” mereka dan “kejayaan memajukan keperluan sosio-ekonomi orang Melayu”. Adakah kita benar-benar buta dan tidak sedarkan rompakan yang dilakukan oleh kerajaan, terhadap seluruh rakyatnya?

Membesar di Felda Maokil, saya sedar akan keadaan di negeri saya yang tidak menentu… sebagai seorang peneroka Felda yang masih terlibat dengan isu pemilikan tanah, di mana kerajaan negeri Johor masih berusaha menyelesaikannya (melalui beberapa “jawatankuasa khas”). Bagaimanakah saya serta beribu-ribu lagi orang lain boleh duduk diam sedangkan manfaat yang dijanjikan tidak ditunaikan dan bagi sesetengah orang, mereka telah kehilangan punca pendapatan?

Musim pilihanraya bakal menjelma tidak lama lagi, jika sekarang bukan masa untuk mencabar status quo, bila lagi?

Pembayaran lewat kepada peneroka, perumahan generasi kedua yang belum disiapkan, bonus tidak dibayar. Berdasarkan kajian Invoke Malaysia, ia mendapati bahawa hal ini telah membentuk ‘trend’ menurun terhadap sokongan kepada UMNO-BN, dengan majoriti kerusi Parlimen yang berkaitan dengan Felda menunjukkan penurunan biarpun mendapat undian setinggi 24% di Pekan, Pahang (kerusi Parlimen Najib).

Di Johor, kami nampaknya tidak begitu terpengaruh berdasarkan apa yang dipaparkan melalui berita. Undi semasa PRU13 untuk UMNO-BN adalah 59-97% di daerah-daerah Felda. Di Johor, Negeri Sembilan dan Pahang (meliputi 80% kawasan pekebun Felda), undian tertinggi adalah daripada pengundi warga tua di Johor – 86% (sudah tentu termasuk ibu bapa saya). Walau bagaimanapun, jumlah pengundi muda lebih rendah di Pahang – 63%.

Realitinya adalah Felda Global Ventures diuruskan sepenuhnya oleh ahli politik, penjawat awam atau mereka yang ada di bawah pejabat Perdana Menteri sendiri dan seperti 1MDB, keputusan Felda, anak-anak syarikatnya dan usahasama pastinya dikawal oleh Perdana Menteri / Menteri Kewangan. Bolehkah kami menerima prestasi dan tawaran yang kurang baik seperti di bawah? Bolehkah kami menggunakan hak untuk mengundi pihak yang benar dan terus berjuang untuk apa yang betul.  Sebuah kerajaan yang tidak korup seperti hari ini:

  • Perjanjian Safitex-Delima Oil – hutang Safitex sebanyak USD8.3 juta kepada FGV Delima Oil dibenarkan meningkat kepada USD11.7 juta.
  • Perjanjian Eagle High Plantations – yang secara kebetulan telah didedahkan kepada orang awam selepas perselisihan antara Zakaria dan Isa.
  • 6ha tanah prima di Jalan Semarak dijual dengan harga RM270 juta kepada sebuah syarikat yang juga diberi kuasa untuk membangunkan tanah itu – Felda tidak menerima satu sen pun.

Saya tidak akan mudah terpedaya dengan peruntukan Bajet 2018 untuk peneroka Felda. Petikan dari Suara Generasi Ke-2 Felda (SGK2F) dalam satu artikel New Straits Times mengatakan bahawa “mereka menyambut baik sikap murah hati kerajaan dalam menjaga kebajikan para peneroka, yang menunjukkan bahawa kerajaan prihatin terhadap kebajikan rakyat” dan “bahawa kita benar-benar mengalu-alukan (manfaat) dan sangat menghargainya” tiada makna kerana kerajaan yang menimbulkan penderitaan yang sedang dialami oleh rakyat ketika ini.